لا اله الا الله ، محمد رسول الل

Lafaz tauhid dan lafaz selamat tinggal terbaik.

Kita selalu fikir masa depan, tapi kita lupa akan 'hari esok'. "..dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa sahaja yg telah dilakukan utk hari esok (akhirat).." - [al-Hasyr 59:18-19]

Monday, December 20, 2010

Aku Adalah Khalifah Allah (^-^)

Bismilahirahmanirahim...

Alhamdulillah harini ana masih dapat menikmati segala kurnian Allah. Hari ini Allah masih bagi peluang dan keizinan untuk ana menulis.Terima kasih Allah. Dan terima kasih buat kalian kerana sudi singgah di blog ini. Seperti yang kalian ketahui blog ini sekadar untuk berkongsi pengalaman .Pengalaman dalam satu perjalanan yang penuh berliku mencari CINTA ALLAH. Satu pengalaman yang di aturkan oleh Allah. Alhamdulillah dengan pengalaman itu Allah mengkehendaki ana untuk berkongsi serba sedikit yangg boleh di manfaatkan oleh mereka yang pada mulanya sama macam ana. Kita berhijrah ke arah yang lebih baik. Alhamdulillah.

Kekadang kita bimbang berbicara tentang hal Allah SWT. Bimbang akan mengelirukan orang lain atau orang lain akan keliru dengan apa yang kita bicarakan. TANPA SEDAR kita sebenar meletakkan takdir menurut fikiran kita sendiri dalam hal ini dengan mengatakan "akan mengelirukan orang lain" atau "orang lain akan keliru".

Kit...a lupa bahawa yang memberikan kefahaman itu bukan kita. Tetapi Allah SWT Yang Memberikan kefahaman ini.

Dengan persepsi "akan mengelirukan orang lain" atau "orang lain akan keliru", kita tidak sedar, kita menghijab diri untuk menyampaikan kepada sahabat-sahabat kita tentang Dzat, Sifat dan Af'al Allah SWT.

"Ya Allah, selagi aku dikehendakiMu untuk terus menulis, aku akan terus menulis ya Allah. Kerana aku hanya mengikut kehendakMu untuk menyampaikan. Namun aku tidak mampu untuk memberi kefahaman kepada mereka melainkan Engkau yang akan memberikannya ya Allah.

Ajarkan kami di dalam perjalanan untuk berada dekat denganMu ya Allah. Ampuni kesalahan kami ya Allah. Terima kasih ya Allah, terima kasih.



Buat kalian jika ada sebarang pertanyaan,perkongsian idea,pengalaman boleh private message dengan ana di fb ana. Alhamdulillah .. ana bersyukur kepada Allah yang menggerakkan 'hati-hati' pembaca samada di fb atau di blog ini sedikit sebanyak memberi mereka kekuatan untuk mereka berubah. Terima kasih Allah. Itulah tanggungjawab ana. Kini baru ana mengerti bahawa setiap orang memang di wajibkan berdakwah walau sebaris ayat sampaikanlah. Alhamdulillah,sebak mengenangkan betapa baiknya Allah. Ada yang terkesan di dalam jiwa menguatkan lagi keinginan seseorang itu untuk berubah. Alhamdulillah , ana hanyalah wakil Allah untuk memberikan sesuatu kepada kalian.Bahawasanya kalian yang telah di gerakkan ke dalam hati untuk berhijrah ke arah yang lebih baik, memperbaiki diri kerana Allah kalian amat bertuah dan beruntung kerana terpanggil untuk itu. Ana di sini juga akan sentiasa bersama kalian dengan izin Allah .insyaAllah.

Teringat di saat ana mula-mula dalam mencari erti HIDUP BERTUHAN (Allah) ,ana fikir ana keseorangan..rupanya Allah sentiasa ada di sisi ana. DIA Maha Melihat,Maha Mendengar. Pengalaman dalam mencari erti SEBUAH KEHIDUPAN adalah guru paling baik buat ana. Terima kasih Allah segala ketetapan Mu buat diri ku ini..ku panjatkan kesyukuran kepadaMu.

Buat kalian,usahlah nak tunggu esok dan lusa untuk berubah. Jika telah terdetik di hati kalian untuk berubah. Maka carilah seseorang untuk membantu. Ana sudi membantu kalian. Ana akan berusaha sedaya upaya ana untuk membantu kalian. Ana sayangkan kalian.Kalian sebenarnya sudah di gerakkan oleh Allah namun 'kekuatan' yang kalian cari. Berdoa moga Allah menguatkan kalian. Dan bersedialah kalian apabila kalian sudah nekad, Allah pasti akan menguji kalian.Dalam pelbagai bentuk. Menguji sejauh mana kekuatan kalian dalam benar2 ke arahNya.

"Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." ( al-Ankabut: 2 - 3) 

Sehingga hari ini ana terus berpegang  dengan ayat ini. Bahawa kita akan sentiasa di uji. Memang tak di nafikan ana terkilan dengan sikap segelintir manusia yang memperlekehkan seseorang yang hendak berubah. Seolah-olah tidak boleh menerima..perubahan seseorang. Kita akan di anggap 'asing' kerana mengikut ajaran Allah.Kita akan di anggap 'asing' dan mereka yang melakukan kemungkaran di anggap perkara biasa. MasyaAllah. Benarlah apa yang di kata kita sudah terlalu hampir dengan 'kiamat' yang di janjikan oleh Allah.

Ana pernah lalui semua tu, teringat di saat permulaan 'perjuangan' tiadalah yang lebih besar melainkan 'fitnah' oleh manusia-manusia yang punya penyakit dalam hatinya. Jika di caci,di maki,di umpat itu adalah perkara biasa dan ana telah kalis dengan semua tu. 

Teringat di suatu masa 'fitnah' itu datang di saat kita hendak kembali kepda Allah. Amat berat yang di rasakan saat itu.Sedih,sebak,Tertanya di dalam hati ..''apakah salah aku berubah ya Allah'' dalam masa yang sama ada satu suara yang datang ''ini adalah ujian Allah.maka tabahlah kamu dalam menghadapinya'' MasyaAllah. ya ini lah ujian Allah.

Jika 'fitnah' itu datang dari saudara mara kalian ,sahabat yang terdekat kalian,orang yang kalian percaya maka bertenanglah. sepertimana ana ketika itu..Apakah ana harus pergi berjumpa dengan orang itu dan marahkan orang itu kerana menyebarkan sesuatu yang tidak benar atau yang mengaibkan diri kita atau yang mendedahkan aurat kita kepada orang lain? tidak.. ana teringat lagi..''Allah bersama dengan orang-orang yang bersabar'' ana nak Allah sentiasa bersama ana ,maka ana kena bersabar. Ana menanggis..ana teringat lagi.. ''menaggislah jika tanggisan itu mampu mengubat hati'' di samping tu ana mohon agar lenyapkan perasaan ini. Keesokan harinya ana mampu berfikir secara rasional..alhamdulillah. Apakah semua ini akan berlaku tanpa izin Allah? makna nya semua yang berlaku adalah dengan izin Allah. 'fitnah' itu datang juga dengan izin Allah untuk menjadi asbab bahawa Allah nak menguji kita. Bukan sahaja fitnah lain-lain contoh seperti cacian ,makian,umpatan .

Apakah Allah akan berikan sesuatu tanpa ada manfaatnya?? TIDAK. Allah itu baik..maka apa yang Allah bagi itu juga baik. Hati menjadi lebih tenang bila fikirkan inilah kehendak Allah. Terima kasih Allah. 

Ujian atau dugaan yang datang adalah dari Allah, sama ada ujian itu sebagai kifarah dosa yang telah kita lakukan atau untuk mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Allah juga tidak menduga hamba-hamba-Nya tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaan mereka untuk menghadapinya, ujian dan dugaan yang diturunkan Allah kepada hambanya adalah seiring dengan keupayaan individu itu untuk menyelesaikan masalahnya. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah:286 yang bermaksud Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya .
 Oleh itu sekiranya kita berhadapan dengan masalah, cubalah bawa bertenang, bersabar dan setkan dalam minda bahawa kita sedang diuji oleh Allah, orang yang melepasi ujian itu adalah orang yang berjaya dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah.



"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka." ( at-Taubah: 111)

Teringat ayat-ayat di atas ana yakin inilah ujian untuk ana lebih dekat dengan Allah.Sekarang ana berpegang bahawa ana adalah wakil Allah menyampaikan sesuatu kepada kalian. Ingatlah ana bukan maksum,ana manusia biasa yang tak pernah lari dari buat kesilapan. Ana tak mampu nak puaskan hati semua orang. Bagi mereka yang sehingga hari ini pun masih tak dapat menerima 'diri ana' ana hanya mampu mengukir satu senyuman :) sebenarnya dengan kehadiran kalian menguatkan diri ana. Kalian benar2 buatkan ana lebih berusaha sungguh2. Bagi yang sehingga hari ini masih mengumpat,mencaci,menghina ana ..ana juga ingin ucapkan terima kasih kepada kalian kerana kalian memang terlalu mengambil berat akan 'diri ana' ini. Kalian tak putus-putus mencari masa tak kira di mana untuk menyerang ana dalam pelbagai bentuk .Terima kasih buat kalian 'semangat' kalian sebenarnya membuatkan semangat ana berlipat-lipat kali ganda untuk terus berjuang. Namun ana ingin meminta maaf kerana ana kalian mendapat 'dosa free' ana hanya mampu berdoa buat kalian. 

Jika nak di bandingkan apa yang ana alami ini adalah sekecil - kecil ujian. Teringat perjuangan rasulullah yang lebih hebat dengan hinaan,tomahan,kebencian mengajar ana erti kekuatan dan ketabahan. Jalan dakwah bukan mudah..dan ianya jugak bukanlah payah. Semua atas kita ,menilainya. Jalan ini yang ana pilih sedikit pun ana tak menyesal. Dan ana amat berharap moga ana mati di jalan Allah. Terima kasih Allah kerana alirkan 'kekuatan' ini.

Jadi bagi kalian yang baru hendak 'bermula' teruskan.. jika ada yang memperlekehkan niat murni kalian. 'bersabarlah' ingat itu adalah ujian Allah juga. Jangan kalian marah pada mereka. Kasihan mereka kerana mereka tidak tahu akan nikmat itu. Mudahan mereka juga seperti kita satu hari nanti. Jangan kalian benci mereka. Mungkin satu hari mereka juga mampu berubah dengan izin Allah. Jadi jangan ragu-ragu lagi, Allah maha Kaya..Pengampunan Allah amat luas..Allah Maha penyayang. Kembali pada Allah,kembali pada Allah.

Di kesempatan ini juga ana ingin memohon maaf andai status ana di fb semalam telah membuat kalian menafsirkan bahawa mood ana :: down :) janganlah kalian beranggapan begitu,di situ ana hanya menyatakan rasa sedikit terkilan dan dengan harapan 'mereka yang nak berubah' jangan merasa 'down' dengan ejekan manusia ni.

''...sis..aku betol2 nak berubah.. aku nak tinggal dah apa aku buat dulu.. aku tahu aku jahat sangat.Aku teringin berjilbab macam sis...aku tengok manis je sis bila pakai mcmtu. Aku ada baca kat blog sis yang sis dulu pun pakai tudung mcm aku..(dan aku main cilop2 je kejap pakai kejap x) tapi aku betol2 nak berubah sis..''

''...Alhamdulillah (sebak...dalam hati) ya <kali ni bagi sis ini mulakan bicara> tahniah buat adik yang telah di gerakkan oleh Allah untuk berubah. Allah tu maha pengampun. Alhamdulillah masih belom terlambat dik.. Memang manis dik bila kita ikut apa yang di tetapkan oleh Allah ni dik. Semua yang di tetapkan oleh Allah ni indah belaka dik...'' (dalam hati........ya Allah terima kasih kerana ada yang terkesan di hati dengan membaca tulisan ku walau bukanlah yang terbaik ..terima kasih ya Allah kau kuatkanlah hati mereka ini...)

''...tapi sis..aku rasa down ni,bila aku nak berubah aku dah xmcm dulu org ingt aku dah buang tabiat..dorank ingat aku dah nak mati. Dorank perlekehkan aku. Aku rasa down jugak walau aku tahu ni ujian buat aku...aku tkt sis...aku tkt aku berubah hanya semntara je''

''...dik.. bila kita nak berubah kembali ke Allah ni dik...kita kena bersedia untuk hadapi 'ujian-ujian' Allah. Allah pasti  menguji sejauh mana niat kita tu. Apakah kita benar2 nak kembali pada Allah. Apakah adik fikir mereka2 itu Allah datangkan tanpa manfaat pada adik? Tak dik...Mereka hanya sebagai asbab untuk Allah berikan ganjaran pahala kepada adik. Allah menguji adik sejauh mana kesungguhan adik. Jadi adik kena selalu ingat apa yang berlaku ini adalah kehendak Allah. Maka adik berlapang dada lah. ..jangan adik goyah dengan mereka. Akak kagum dengan semnagt adik. Akak akan sentiasa bantu selagi akak mampu. ( Terima kasih Allah jika kau mengkehendaki aku untuk menjadi wakil kepada mereka yang nak berubah ini maka aku terima dengan penuh rasa syukur ya Allah....berilah aku kekuatan ..beri aku ilham ya Allah )

>>> ana cuma ingin berpesan bagi mereka yang tak dapat terima perubahan seseorang..moga kalian bermuhasabah diri balik.. apa yang meghalang kalian daripada menerima sesuatu kebaikkan? sedarkah kalian dalam hati kalian ,,kalian telah bersikap takabbur kepada Allah. Teringat kata2 ustaz di IKIM 'mereka yang takabbur ini antaranya adalah yang enggan menerima ajaran Allah kebaikan yang Allah tetapkan'' -mereka enggan dengan merasakan mereka dah cukup baik dan tidak perlukan perubahan .MasyaAllah beristghfarlah kalin..hanya itu penawarnya. Kadang-kadang apabila kita telah merasa kita ini sudah cukup baik sehinggakan kita enggan kembali memohon keampunan kepada Allah ..ianya lebih parah , jadi bersyukurlah buat kita yang sentiasa ingat akan dosa2 kita. Ingat sebesar mana dosa kita Allah itu maha Pengampun.

Renungan >>> Apa kalian fikir 'tangan-tangan' yang menulis ini akan menulis jika ianya belom terkesan di dalam jiwa? ana tidak ingin menjadi hipokrit. Apa yang ana dapat? Sebelom blog ini tercipta ana hanya ada satu niat, satu harapan.. ana hanya ingin ada yang terkesan dalam haty dengan membaca entry2 di dalam ini. Memang tidak hebat seperti penulis blog lain (^_*)  cuma sudah cukup bagi ana jika ada yang terkesan. Apa yang ana dapat,apa yang baru ana pelajari ana berbesar hati untuk berkongsi dengan kalian,mungkin ada di antaranya kalian sudah tahu..mungkin bila ana ulangkan kalian boleh ingat balik dan ianya sudah datangkan kebaikan ke atas diri kalian jika kalian mengamalkanya.Alhamdulillah akhirnya ada yang terkesan setelah blog ini di hasilkan moga lebih ramai yang dapat 'rasai' kesungguhan ini membawa kalian kembali berjiwa positif hidup bertuhan.

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) – al-Mulk (67) : 2

Ujian daripada Allah S.W.T ini meliputi seluruh hamba-Nya yang taat mahupun yang derhaka. Malah ujian bagi hamba-hamba-Nya taat adalah lebih hebat berbanding dengan mereka yang engkar. Rasulullah s.a.w pernah di tanya:

Ya Rasulullah, siapakah yang paling keras mendapatkan ujian?

Baginda menjawab: Para Nabi dan pengikut-pengikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agama, jika kadar beragamanya kuat maka ujiannya semakin keras. Jika kadar beragamanya lemah maka dia diuji sesuai dengan kadar agamanya. Seorang hamba akan sentiasa diuji sampai dia akan dibiarkan berjalan di muka bumi tanpa membawa dosa kesalahan. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (no: 2322)

Justeru itu segala ujian daripada Allah S.W.T ini haruslah kita tempuhi dengan penuh kesabaran agar ianya dapat mendekatkan kita kepada-Nya dan menerima segala limpah rahmat-Nya. Firman Allah S.W.T.:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: (Innalillahi wa inna ilahirajiun) "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. – al-Baqarah (2) : 157

Rata-rata umat Islam di Malaysia hanya akan menyebut Innalillahi wa inna ilahirajiun apabila menerima berita kematian. Tapi menerusi ayat ini dapatlah kita fahami bahawa sekiranya kita ditimpa apa jua bentuk musibah atau mendengar orang lain didatangi bencana maka hendaklah kita mengucapkan kalimah tersebut.

Apakah itu sabar? Sabar adalah teguh dan tetap berada di atas landasan yang dikehendaki oleh agama apabila berhadapan atau menentang sesuatu pengaruh yang ditimbulkan oleh hawa nafsu baik ketika ingin mengerjakan perbuatan untuk mencari ketaatan Allah, melakukan perkara-perkara maksiat dan ketika ditimpa musibah. Manusia sentiasa berada di dalam situasi di mana pengaruh agama sentiasa berperang dengan hawa nafsu. Demi untuk menjamin hawa nafsu dapat ditewaskan maka sifat sabar itu perlu ada bagi setiap orang yang beriman. Hendaklah kita fahami bahawa ujian Allah boleh berada dalam bentuk nikmat kebaikan dan juga musibah yang berbentuk kesusahan. Firman-Nya:

Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. - al-Anbiya’ (21) : 35

Dari ayat di atas dapat kita nyatakan bahawa ujian yang perlu di hadapi oleh manusia ini terdiri dari dua bentuk.

PERTAMA: Perkara yang sesuai dengan hawa nafsu manusia seperti kekayaan, berjawatan tinggi, terkenal dan mengecapi semua nikmat dunia yang lain. Manusia ketika ingin mencapai nikmat dunia, mereka perlu untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh serta bersabar. Apabila nikmat tersebut telah dikecapi maka ujian yang datang darinya juga begitu hebat maka kesabaran memainkan peranan yang penting demi menjamin bahawa nikmat dunia yang diperolehi itu dipergunakan sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Sebagai contoh, kekayaan yang kita perolehi adakalanya menyebabkan manusia lupa daratan, menjadi angkuh dan menjauhkannya dari perintah Allah S.W.T.. Oleh itu hendaklah hawa nafsu itu diperangi menerusi sifat sabar agar kekayaan bukan sahaja akan menjadikannya insan yang beriman malah dibelanjakan hartanya itu sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Allah S.W.T. mengingatkan kita melalui firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. – al-Munaafiquun (63) : 11

KEDUA: Ujian dalam ketegori ini meliputi perkara-perkara yang tidak secocok dengan kehendak hawa nafsu manusia. Ianya boleh terjadi disebabkan perbuatan atau usaha manusia itu sendiri ataupun ianya datang di luar kawalan manusia seperti bencana yang tidak dapat dielakkan.

Ujian yang tidak selari dengan hawa nafsu kita tetapi terjadi disebabkan perbuatan manusia sendiri terbahagi kepada dua bentuk.

a) KETAATAN : Manusia memerlukan kesabaran tatkala hendak melaksanakan amalan-amalan yang berbentuk ketaatan. Ini adalah kerana ujian yang dihadapi oleh seseorang apabila hendak melaksanakan ibadah sekiranya tidak dihadapi dengan penuh kesabaran akan menyebabkan gagalnya perlaksanaan amalan tersebut. Sebagai contoh yang mudah apabila kita hendak melaksanakan solat tahajud atau subuh yang mana kita perlu menghadapi ujian malas untuk bangun awal dari tempat tidur kita. Sekiranya kita tidak sabar untuk menghadapi ujian tersebut maka akhirnya kita akan memilih tilam serta bantal yang empuk dari beribadah di atas sejadah. Firman Allah S.W.T.:

"Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepada-Nya; adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding dengan-Nya?" – Maryam (19) : 65

Segala amalan yang boleh membawa kita ke syurga dilingkari oleh perkara-perkara yang tidak disenangi oleh hawa nafsu yang perlu kita hadapi agar perlaksanaannya menjadi realiti. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Syurga itu dikelilingi dengan hal-hal yang tidak disukai (oleh hawa nafsu), sedangkan neraka dikelilingi oleh syahwat. Hadis riwayat Imam Muslim (no: 2823)

b) KEMAKSIATAN: Manusia juga memerlukan kesabaran yang tegar untuk menghindarkan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan maksiat baik dari segi perbuatan, perkataan dan keinginan hatinya. Maksiat itu walaupun mempunyai daya tarikan yang kuat namun ianya sebenarnya tidak sesuai dengan kehendak hawa nafsu manusia kerana pada hakikatnya ia akan membawa keburukan kepada manusia. Kita ambil contoh melakukan seks bebas. Perbuatan tersebut sememangnya dapat memuaskan nafsu syahwat manusia, namun ia sebenarnya memusnahkan sistem kekeluargaan manusia, menyebarkan penyakit berjangkit serta membawa gejala sosial yang menghancurkan generasi masa hadapan. Lantaran itu Allah S.W.T. melarang perbuatan maksiat. Firman-Nya:

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya. - al-Nahl (16) : 90

Ujian yang datang tanpa dapat dikawal oleh manusia dalam bentuk bencana mahupun musibah yang dihadapi juga terdapat dua bentuk.

a) Musibah yang melanda namun manusia mampu menghindarinya seperti penganiayaan sesama manusia, dipulaukan oleh masyarakat, dihina oleh orang ramai melalui perbuatan dan ucapan. Sebagai contohnya ujian yang dihadapi oleh para pendakwah yang dicemuh oleh masyarakat sekelilingnya yang jahil dan musuh-musuh Allah. Dia sebenarnya boleh meneruskan dakwahnya dengan cara yang penuh hikmah dan bersabar atas ujian tersebut tanpa melakukan apa-apa balasan yang akan memburukkan lagi keadaan. Firman Allah S.W.T.:

Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik. – al-Muzzammil (73) : 10

Walaupun begitu Allah S.W.T membenarkan kita untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh pihak lain tanpa melakukannya secara berlebih-lebihan namun bersabar itu adalah jalan yang lebih baik.

Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. – al-Nahl (16) : 126

b) Musibah yang melanda manusia dan dia tidak mampu untuk menghalangnya sama sekali. Contohnya seperti kematian, kemarau berpanjangan, kecacatan, wabak penyakit, banjir besar dan bencana-bencana alam yang lain. Apabila terjadinya musibah sedemikian rupa maka hendaklah kita menghadapinya dengan keredhaan dan penuh kesabaran. Firman Allah S.W.T.:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. – al-Baqarah (2) : 155

Haruslah kita ingati bahawa musibah yang menimpa manusia itu ada hikmah yang tersembunyi. Sebagai contohnya bagi mereka yang berada dalam daerah yang dilanda wabak taun dan menghadapinya redha dan penuh kesabaran maka Allah S.W.T. akan memberinya ganjaran seperti seorang yang mati syahid.

‘Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang hal wabak taun, maka diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. bahawa wabak taun ialah satu bentuk siksa Allah yang dikirimkan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, tetapi Allah menjadikannya sebagai rahmat bagi para hamba-Nya yang beriman. Maka seorang mukmin yang berada di daerah yang dijangkiti wabak itu jika sabar dan ikhlas kerana dia mengerti tidak akan terkena wabak itu kecuali kalau memang sudah ditakdirkan Allah baginya, maka Allah akan mencatat baginya sebagai ganjaran seperti pahala seorang yang mati syahid. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no: 3474)

Justeru itu dapatlah kita fahami bahawa semua umat manusia terdedah kepada pelbagai bentuk ujian daripada Allah S.W.T dan kenyataan ini memerlukan setiap orang menyemai sifat kesabaran yang hakiki dalam setiap gerak-geri hidupnya. Menyedari akan pentingnya sifat kesabaran ini maka Allah S.W.T. memberikan keutamaan yang besar bagi mereka yang sabar. Di antara keutaman-keutamaan tersebut adalah seperti berikut:

a) Sifat sabar menunjukkan seseorang itu memiliki keimanan yang tinggi kepada Allah S.W.T.. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Sangat mengagumkan keadaan seorang mukmin sebab segala keadaan untuknya (dianggap) baik dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin. Jika mendapat nikmat dia bersyukur maka syukur itu lebih baik baginya. Dan bila menderita kesusahan dia sabar maka kesabaran itu lebih baik baginya. - Hadis riwayat Imam Muslim (no: 2999)

b) Mereka yang sabar akan menerima ganjaran pahala yang tidak terbatas dan memudahkannya untuk menjadi ahli syurga. Firman Allah S.W.T:

Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. – al-Zumar (39) : 10

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Allah 'Azza wa Jalla telah berfirman: “Apabila saya menguji seorang hamba-Ku dengan buta kedua matanya, kemudian dia sabar, maka Aku akan menggantikannya dengan Syurga. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no: 5653)

c) Mereka yang sabar sentiasa dekat dengan Allah S.W.T. dan mudah untuk menerima bantuan-Nya bagi menghadapi kehidupan yang mendatang. Firman-Nya

Sesungguhnya Allah menyertai(membantu) orang-orang yang sabar. – al-Baqarah (2) : 153

d) Kesabaran termasuk dalam kategori amalan yang sangat baik dan dituntut untuk dikerjakan. Firman Allah S.W.T.:

Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). – al-Syuura (42) : 43

e) Kesabaran menunjukkan seseorang untuk memiliki kekuatan yang hakiki. Sabda Rasulullah s.a.w.

"Bukan ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergusti tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsu ketika marah." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no: 6114)

Demikanlah beberapa keutamaan sifat sabar yang sempat  ana perturunkan. Adalah harapan ana melalui keutamaan-keutamaan yang dipaparkan ini ianya akan menjadi pencetus yang membakar semangat bagi para pembaca untuk menjadi insan yang penyabar terutamanya ketika menghadapi pelbagai ujian daripada Allah S.W.T.. Apatah lagi hidup pada zaman yang serba moden ini kita semakin terdedah dengan ujian-ujian yang semakin getir yang memerlukan kita untuk memaksimumkan penyemaian sifat kesabaran dalam jiwa kita. 
miss tepung komak (^-^) >>>> ana adalah khalifah Allah sama seperti kalian. Kita adalah khalifah Allah. Kita ada tanggungjawab yang perlu kita laksanakan. Kita adalah wakil Allah bagi  menjayakkan sesuatu yang Allah ingin laksanakan. Jadi ayuh...sama2 kita laksanakan tanggungjawab dan amanah yang Allah perintahkan ke atas kita . Janganlah kita bersikap lemah dengan segala apa yang terjadi. Ya kita mesti kuat. Umat islam pada hari ini memerlukan kita. Jadi ayuh kita berikan sumbangan kepada yang memerlukan walau tidak banyak biar sikit itu bermanfaat. insyaAllah.Allah Maha Mengetahui. (^-^) ...

dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat benca...na dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuha...n), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya”.
(QS: Al-Baqarah 2:30)

Iblis menjawab: ” Aku lebih baik daripadanya; Engkau (Wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang Dia Engkau ciptakan dari tanah “.
(QS: Shaad 38:76)

Saudara,
Jika kita meneliti firman Allah SWT di atas, pastinya kita tertanya-tanya, rahsia apa yang mampu kita katakan di dalam rencana Allah SWT ini? Apakah ertinya khalifah yang selalu kita sebut-sebutkan dengan penuh bangga ketika kita sering bincangkan, ceramahkan, forumkan?

Apakah kehebatan kita sehingga Allah SWT tidak mahu menjawab kepada dua makhluk yang paling baik ibadah dan keimanan kepadaNya? Jika kita teliti pernyataan malaikat, ada kebenarannya iaitu manusia ini adalah makhluk yang suka membuat kerosakan di muka bumi.

Saudara,
Khalifah merupakan wakil Allah SWT dan penguasa di muka bumi. Apakah kehebatan kita berbanding dengan malaikat dan juga iblis (suatu ketika dahulu)? Soal keimanan, jelas mereka sangat hebat berbanding kita. Dibandingkan dari segi ibadah kepada Allah SWT, jelas malaikat paling hebat.

Lalu apakah yang dibanggakan sangat oleh Allah SWT dengan manusia makhluk ciptaanNya yang satu ini yang mana kita merupakan makhluk yang hina dan lemah dari anggapan Iblis? Apakah yang membuatkan Allah SWT bangga dengan kita sehinggakan Allah SWT meminta malaikat dan Iblis sujud kepada kita tanda penghormatan tertinggi?

Allah SWT merupakan Zat, Nama dan Perbuatan (Af’al). Segala apa yang dilakukan oleh Allah SWT adalah kebenaran adanya. Dia yang menciptakan manusia dengan begitu indah dan sangat komplek. Allah SWT tidak menciptakan kita dengan menurunkan kita terus dari langit secara beramai-ramai. Allah SWT tidak menjadikan kita menjelma dari tanah dan menjadi manusia.

Allah SWT menciptakan kita daripada sari pati tanah (ekstrak). Allah menjelaskan di dalam firmanNya Surah Al-Hajj(22) ayat 5. Ayat ini jelas menunjukkan adanya keterlibatan kita di dalam penciptaan manusia. Bermula daripada air benih yang Allah SWT letakkan ke dalam rahim seorang ibu, kita turut sama terlibat di dalam kejadian kita sendiri.

Saudara,
Khalifah merupakan penguasa di muka bumi ini. Kita merupakan wakil Allah SWT di dalam menggerakkan apa yang direncanakan oleh Allah SWT di dalam pengaturan alam ini.

Kemuliaan kita bukan terletak sebanyak mana kita bertasbih seperti malaikat. Tetapi kemuliaan kita kerana kita mempunyai sifat seperti Tuhan (bukan sama hebat dengan Tuhan) iaitu meniru sifat Allah SWT di dalam mengatur alam semesta ini.

Sebagai contoh, seorang usahawan merupakan wakil Allah SWT di dalam menyampaikan rezeki kepada makhluk hidup yang lain. Allah SWT memberikan kita keperluan hidup kita melalui wakilNya iaitu peniaga. Seorang doktor merupakan wakil Allah SWT di dalam merawat manusia lain yang sakit. Seorang guru merupakan wakil Allah SWT di dalam menyampaikan ilmu kepada manusia yang lain.

Seorang ibu merupakan wakil Allah SWT memberikan kasih sayang kepada anak dan suami. Seorang ayah merupakan wakil Allah SWT menyediakan makan minum dan keperluan buat seisi keluarga. Seorang pekerja merupakan wakil Allah SWT di dalam memberikan perkhidmatan kepada manusia lainnya.

Allah memberikan kita segala keperluan kita melalui wakil-wakilNya yang terdiri daripada manusia itu sendiri. Allah juga memberikan binatang dan tumbuhan-tumbuhan beberapa perkara melalui kita iaitu wakil Allah SWT.

Seharusnya kita semua bangga dan bersyukur menjadi wakil Allah SWT dengan MENGATASNAMAKAN Allah SWT di dalam mentadbir alam ini. Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab masing-masing yang diberikan oleh Allah SWT dan semua kita ini merupakan wakil Allah SWT.

Saudara,
Mengapa Allah SWT menuntunkan kita agar memulakan setiap apa yang kita lakukan dengan kalimat “bissmillahirrahmanirrahim” (Dengan Nama Allah SWT Yang Maha Pemurah/Pengasih lagi Maha Penyayang)?

Semua kerja kita ini merupakan amanah Allah SWT. Pastinya setiap kali kita ingin memulakan pekerjaan, kita seharusnya SEDAR bahawa apa yang kita lakukan itu merupakan amanah dan tanggungjawab yang Allah SWT berikan kepada kita.

Kita pada dasarnya adalah makhluk langit (Roh) berbadan tanah atau makhluk yang berkenderaan jasad. Kita pernah dilantik di hadapan Allah SWT sebelum wujudnya kita di muka bumi ini. Kita memberikan 100% kerjasama dan penyerahan total kepada Allah SWT.

Alastu birabbikum? Qaalu bala Syahidna. Bukankah Aku ini Tuhanmu? Ya kami semua bersaksi.

Maka atas penyaksian kita ini, kita diminta oleh Allah SWT untuk bersyahadat agar terus menerus berpegang dengan keyakinan kita bahawa tiada tuhan melainkan Allah SWT. Kita sentiasa memperbaharui penyaksian kita ini di dalam solat kita dan juga setiap detik kehidupan kita.

Untuk menyedarkan kita bahawa kita ini adalah utusan Allah SWT iaitu wakilNya di dalam melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab, kita diminta untuk memulakan dengan “bissmillahirrahmanirrahim” agar kita sentiasa sedar semua amanah dan tanggungjawab itu datangnya daripada Allah SWT.

Saudara,
Demikianlah puncak daripada hidup bertuhan untuk menyedari diri sebagai khalifah yang sering kita ungkapkan tanpa memahaminya selama ini.

Khalifah, wakil Allah SWT yang sentiasa bekerjasama dengan Allah SWT di dalam mengaturkan muka bumi ini. Yang BERSERAH dengan segala kehendak Allah SWT kerana kita bukan penentu di dalam mengatur muka bumi ini. Kita hanya wakil Allah SWT yang melaksanakan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Kita melakukan atas nama Allah SWT. Apa yang kita lakukan sesungguhnya adalah pekerjaan Allah SWT, atas nama Allah, atas kehendak Allah SWT.

Firman Allah SWT:
“maka bukanlah kamu Yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah Yang menyebabkan pembunuhan mereka. dan bukanlah Engkau (Wahai Muhammad) Yang melempar ketika Engkau melempar, akan tetapi Allah jualah Yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang Yang beriman Dengan pengurniaan Yang baik (kemenangan) daripadanya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”
(QS: Al-Anfaal:8:17)

Demikianlah jalan jiwa positif hidup bertuhan sesungguhnya. Bahawa kita perlu kembali kepada tujuan semula kita dijadikan iaitu sebagai wakil Allah SWT yang memegang kekuasaan ATAS NAMA ALLAH SWT.

Kita tidak dilarang memiliki harta, kereta, rumah dan sebagainya. Semua ini adalah keperluan kita di dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan oleh Allah SWT sebagai wakilNya. Tidak salahnya kita memiliki semua itu sekadar untuk memudahkan kita melaksanakan tanggungjawab kita.

Semoga di tahun baru hijrah ini, kita lebih produktif bersungguh-sungguh di dalam melaksanakan segala kerja kita kerana kita ini adalah wakil Allah SWT yang mengerjakan amanah yang Allah SWT tetapkan ke atas kita. Seharusnya kita melaksanakan dengan penuh kualiti kerana semua ini adalah kerana ALLAH SWT, Tuhan yang kita cintai.

“Maka Adakah patut kamu menyangka Bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja Dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?”
(QS Al-Mu’minuun:23:115)


>>>>> ana juga ingin menyatakan mungkin tahun depan ana akan berhadapan dengan masa yang agak padat. Jadi mungkin tidak dapat sentiasa mengupdate blog ini seperti sekarang. Walaubagaimanapun, ana cuba berikan perkongsian yang baik buat kalian. Ana sayangkan kalian .. semoga Allah merahmati kita semua. Apa yang baik kalian ambilah sebagai ingatan,pengajaran,apa yang kurang baik kalian tinggal-tinggalkanlah (^_~)

No comments:

Post a Comment